Sunday 10 November 2013

Hamil dan Sendirian: Apa Pilihan Saya? - Bahagian 5(b)

Hamil dan Sendirian: Apa Pilihan Saya? 
[Penerbitan oleh WAO - Pertubuhan Pertolongan Wanita dengan sokongan daripada Malakoff]



Bahagian 5(b): Merancang dan memulakan persiapan kelahiran

2) Membesarkan anak
Seandainya anda merasakan bahawa pengangkatan anak bukanlah pilihan yang sesuai, anda juga boleh memilih untuk membesarkan anak anda.
 

Bersiap sedia dengan cabaran-cabaran yang terpaksa anda hadapi. Masyarakat masih lagi mempunyai persepsi yang serong terhadap wanita tunggal yang hamil. Pandangan serong, kritikan dan pemulauan ini amatlah menyedihkan, tetapi ia juga merupakan hakikat sebenar buat masa ini. Anda perlulah menyiapkan diri, tetapi pada masa yang sama anda tidak perlu sama sekali merasa bersalah mahupun meminta maaf.

Sebelum anda membuat keputusan, tanya diri anda soalan-soalan ini:
  1. Mampukah anda membesarkan seorang bayi?
  2. Bersediakah anda dari segi fizikal, emosional, dan kewangan?
  3. Bolehkah anda membesarkan anak ini sekiranya ayah kepada anak anda telah meninggalkan/enggan bertanggungjawab/atau mungkin juga telah menyerang anda?

Bersiap sedia juga untuk saat-saat anak anda membesar, melalui kehidupan, menghadiri persekolahan, berkahwin dan seterusnya mendapatkan anak mereka sendiri, bahawa mereka juga mungkin terpaksa berhadapan dengan pandangan serong masyarakat. Sebagai seorang ibu, anda perlulah bersedia dan berhatihati dalam menangani kemarahan dan persoalan anak anda dengan sebaiknya.

Dan sebaliknya juga, anda mungkin antara individu yang bertuah. Ibu bapa anda boleh jadi amat gembira dengan kedatangan cucu dan sudi menjaga anak anda sementara anda pergi kerja/belajar. Jiran tetangga dan rakan-rakan anda pula sentiasa memberikan sokongan.

Apabila kehamilan saya diketahui oleh ibu saya, beliau terus menghalau saya keluar dari rumah. Pada masa itu saya merasa amat keseorangan. Tetapi, setiap kali saya merasa putus asa, saya akan menatap wajah anak, dan saya akan merasa kembali bertenaga.
Oleh itu, sekiranya menjadi seorang ibu merupakan sebahagian daripada agenda hidup anda pada masa ini, jangan sesekali membiarkan orang lain meyakinkan anda bahawa anda tidak mungkin atau tidak layak melakukannya. Dan sekiranya anda memilih untuk membesarkan anak anda sendiri, yakinlah bahawa ramai lagi ibu tunggal yang cekal dan dengan berbekalkan semangat yang kuat, akhirnya berjaya menemui kebahagiaan dalam hidup mereka.

Berikut merupakan antara bentuk-bentuk yang bantuan yang terdapat untuk
ibu tunggal (juga rujuk ke post X):

  • Rumah kanak-kanak - Terdapat pelbagai rumah kanak-kanak di seluruh Malaysia yang boleh anda menempatkan anak sementara anda menyesuaikan diri.
  • Pertubuhan-pertubuhan ibu/bapa tunggal - Terdapat pelbagai pertubuhan yang menawarkan bermacam-macam bentuk bantuan daripada bantuan kewangan, peluang pekerjaan, kepada barang-barang keperluan rumah khas kepada ibu/ayah tunggal.
  • Rumah perlindungan wanita - Rumah perlindungan ini dapat menyediakan tempat tinggal untuk anda sementara anda menanti kelahiran bayi dan juga beberapa ketika selepas kelahiran bayi itu. Selepas beberapa masa, anda harus juga keluar dan mencari tempat tinggal sendiri.

No comments:

Post a Comment