Saturday 9 November 2013

Hamil dan Sendirian: Apa Pilihan Saya? - Bahagian 5(a)

Hamil dan Sendirian: Apa Pilihan Saya? 
[Penerbitan oleh WAO - Pertubuhan Pertolongan Wanita dengan sokongan daripada Malakoff]



Bahagian 5(a): Merancang dan memulakan persiapan kelahiran

Sesukar mana sekalipun situasi yang sedang anda hadapi, anda perlulah memikirkan secara tenang dan mendalam tentang bagaimana setiap satu pilihan ini akan mempengaruhi hidup anda, bagi membuat pilihan yang sebaiknya. Berikut merupakan pilihan-pilhannya:

1) Pengangkatan Anak
Memberikan bayi untuk diambil sebagai anak angkat merupakan perkara yang amat sukar untuk dilakukan. Ingatlah bahawa anda adalah orangnya yang akan meneruskan kehamilan ini, melahirkan anak dan seterusnya menyerahkannya kepada orang lain. Bolehkah anda menerima hakikat bahawa anak itu akan dibesarkan oleh orang lain, dan berdepan dengan kemungkinan bahawa anda tidak akan melihat anak itu lagi? Ini merupakan perkara-perkara yang anda perlu pertimbangkan.


Terdapat 2 kaedah pengambilan anak angkat:


i) Mengikut Akta Pengangkatan 1952 (Akta 253)(kegunaan orang bukan Islam sahaja):
Kedua ibu bapa angkat (yang bukan beragama Islam) boleh menfailkan petisyen ke mahkamah sesyen atau mahkamah tinggi selepas tiga bulan anak itu berada di bawah penjagaan mereka. Melalui kaedah ini, sijil kelahiran anak ini akan diperbaharui dengan memasukkan nama ibu bapa angkat sebagai ibu bapa anak itu. Ibu kandungnya pula secara automatik akan kehilangan semua hak-haknya ke atas anak itu.


ii) Mengikut Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 (Akta 257)(kegunaan orang Islam & bukan Islam):
Ibu bapa angkat itu hendaklah telah membesarkan anak itu, dan memiliki bukti penjagaan, pemeliharaan dan pendidikan anak itu untuk tempoh minima 2 tahun. Selepas 2 tahun, pengangkatan itu boleh didaftarkan. Ibu bapa angkat itu bolehlah memohon kepada mahkamah untuk mengarahkan Jabatan Pendaftaran Negara untuk memperbaharui sijil kelahiran anak itu dengan memasukkan nama ibu bapa angkatnya. Ibu kandungnya pula secara automatik akan kehilangan semua haknya ke atas anak itu.


Apa yang perlu anda tahu jika anda ingin memberikan anak untuk pengangkatan anak:
  • Sekiranya anda ingin mengambil kembali anak anda selepas memberikannya untuk pengangkatan dan ianya telahpun diluluskan, anda TIDAK akan boleh mendapatkan anak itu kembali melainkan pengangkatan anak yang berdaftar itu dibatalkan oleh perintah mahkamah terlebih dahulu.
  • Sebarang kemungkinan untuk anda menemui anak anda di masa hadapan adalah tertakluk kepada sebarang perjanjian antara anda dan keluarga angkat itu sendiri. Tidak ada sebarang undang-undang yang mewajibkan keluarga angkat itu untuk memberikan kebenaran untuk anda bertemu dengan anak anda.
  • Sebarang permohonan untuk pengangkatan bolehlah dilakukan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, atau Pegawai Kerja Sosial Perubatan daripada hospital-hospital yang berkenaan.
  • Seringkali, Pegawai Kebajikan ataupun Pegawai Kerja Sosial Perubatan akan menemubual ibu kandung serta keluarga angkat terlebih dahulu.
  • Anda boleh memilih samada ingin bertemu dengan keluarga yang ingin mengambil anak anda sebagai anak angkat atau tidak
Kemungkinan besar terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi keputusan anda untuk meletakkan anak anda untuk proses pengambilan anak angkat. Seringkali seseorang ibu itu tidak mahu melepaskan anaknya, namun kekurangan sistem sokongan, situasi kewangan yang tidak stabil, serta keengganan memberitahu ahli keluarga tentang kehamilan dan sebagainya
memaksa mereka untuk menempatkan anak untuk pengangkatan.


Selepas pengangkatan, anda akan mengalami emosi yang bercampur-aduk. Anda mungkin akan merasa marah, sedih atau sakit hati kerana tidak dapat membesarkan dan membina hubungan dengan anak anda, ataupun merasa lega, tenang dan positif tentang keputusan yang telah anda ambil dan menerimanya dengan hati yang terbuka. Tetapi hampir setiap ibu akan merasa curiga akan keadaan anak mereka apabila anak itu mencecah umur yang penting seperti memulakan atau menamatkan persekolahan, berkahwin mahupun mendapatkan anak mereka sendiri.

Sebagai seorang ibu, saya merasakan bahawa memilih untuk meletakkan bayi yang saya sendiri tidak mampu membesarkan untuk pengangkatan anak merupakan pengorbanan yang paling besar yang seorang ibu boleh lakukan untuk anaknya. - Tidak bernama
Apakah yang boleh anda lakukan untuk merasa lebih baik?
  • Mendapatkan kaunseling
  • Bercakap dengan ahli keluarga atau rakan
  • Menuliskan perasaan di dalam diari
  • Menulis surat kepada anak anda walaupun surat itu tidak akan diposkan.
Ini antara contoh kaedah-kaedah yang positif untuk berhadapan dengan
perpisahan ini.

No comments:

Post a Comment