Tuesday 12 November 2013

Hamil dan Sendirian: Apa Pilihan Saya? - Bahagian 6

Hamil dan Sendirian: Apa Pilihan Saya? 
[Penerbitan oleh WAO - Pertubuhan Pertolongan Wanita dengan sokongan daripada Malakoff]



Bahagian 6: Melahirkan anak

Apabila anda membayangkan hari anda bersalin, apakah yang anda nampak? Kebanyakan wanita merasa takut apabila membayangkan penyepit, gunting, pisau, dan bermacam-macam lagi objek tajam yang dilihat apabila mereka masuk sahaja ke bilik bersalin. Tetapi percaya atau tidak, anda tidak akan melihat objek-objek seperti ini. Sebaliknya, bayangkan sebuah katil bayi, katil
bersalin, serta beberapa skrin yang digunakan untuk memerhati tanda-tanda penting badan seperti nadi dan degupan jantung untuk anda dan juga bayi
anda. Anda akan ditemani seorang doktor serta beberapa orang jururawat. Sekiranya anda inginkan ahli keluarga berada bersama anda, ianya juga boleh dilakukan.


Selepas Melahirkan Anak
  • Amalkan diet yang sihat dengan memakan banyak buah-buahan, sayur-sayuran, daging, ikan, dan karbohidrat seperti pasta atau nasi.
  • Kurangkan makanan yang mengandungi lemak dan gula.
  • Mencuba beberapa bentuk dan jenis senaman yang dapat merilekskan tubuh badan anda disamping membantu anda kekal sihat dan merasa lebih baik.
  • Menyusukan anak akan membakar lemak yang dikumpul sewaktu mengandun dan membantu anda menurunkan berat badan secara semulajadi, tetapi anda haruslah memastikan bahawa kandungan kalori ditingkatkan dengan cara makan dalam kuantiti yang sedikit seberapa kerap yang mungkin.
  • Pemeriksaan postnatal sepatutnya dijadikan keutamaan kerana ia dapat mengenalpasti samada proses pemulihan fizikal dan juga emosi anda berjalan dengan baik.
Anda akan merasa amat penat dan tidak selesa beberapa hari pertama selepas bersalin, terutamanya jika anda sedang membesarkan bayi seorang diri. Gunakan masa sewaktu bayi anda sedang tidur untuk berehat. 

Perubahan peringkat hormon akan seringkalinya membuatkan anda merasa
seperti ingin menangis, marah, murung, dan lemah atau rendah diri dan emosional antara tiga hingga lima hari selepas bersalin. Tempoh masa ini dikenali sebagai ‘baby blues’, dan dipercayai disebabkan oleh perubahan hormon yang mendadak dan hanya akan dialami selama beberapa hari sahaja. Kemurungan selepas bersalin atau ‘post-partum depression’ pula selalunya bertahan lebih lama dan lebih parah. Sekiranya ‘baby blues’ anda masih lagi tidak pulih selepas 2 minggu, dapatkanlah khidmat nasihat dari seorang doktor.


Bagaimana cara untuk mendaftarkan kelahiran anak anda?

Pendaftaran kelahiran adalah percuma dan hak setiap bayi yang lahir. Anda akan menerima borang untuk pendaftaran kelahiran daripada hospital di mana anda bersalin. Menggunakan borang itu, anda boleh pergi mendaftarkan kelahiran anak anda di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).


Anak anda PASTI akan menerima sijil kelahiran. Nama anda pula akan didaftarkan secara automatik di dalam sijil kelahiran itu sebagai ibu kepada anak anda.


Bagi seorang bayi yang dilahirkan oleh ibu tunggal mengandung bukan Islam,
berdasarkan undang-undang, jika mana bapa kepada bayi itu hadir pada masa
pendaftaran kelahiran, tanpa mengambil kira samada kedua ibu bapa bayi itu telah berkahwin atau tidak, nama bapa itu boleh dimasukkan ke dalam sijil kelahiran bayi itu.


Bagi seorang bayi yang dilahirkan oleh ibu tunggal mengandung beragama Islam pula, berdasarkan undang-undang, kedua ibu bapa bayi itu WAJIB memiliki sijil perkahwinan yang membuktikan bahawa mereka sudah berkahwin sekurangkurangnya 6 bulan sebelum kelahiran bayi itu. Oleh itu, tidak kira samada bapa kepada bayi itu hadir atau tidak sewaktu proses pendaftaran, nama bapa tetap akan didaftarkan sekiranya ada sijil perkahwinan. Dan sebaliknya juga, nama bapa bayi itu tetap tidak boleh didaftarkan jika tidak ada sijil perkahwinan sekalipun beliau hadir sewaktu proses pendaftaran.


Dalam kes di mana nama bapa tidak didaftarkan, ruang bagi nama bapa di dalam sijil kelahiran akan dibiarkan kosong.

No comments:

Post a Comment